PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sambil berkata, tarikh itu menjadi pilihan setakat ini dan sebarang pindaan akan dimaklumkan kemudian.
“Sidang Parlimen bermula 14 Oktober dan Belanjawan Madani 2025 pula akan dibentangkan pada 18 Oktober,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.
Laman sesawang Parlimen turut memaparkan tarikh berkenaan sebagai pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bermula pukul 4 petang.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, Anwar menerusi mesyuarat Kabinet mengarahkan semua menteri agar melaksanakan sesi dialog belanjawan di kementerian dengan penglibatan pemegang taruh dalam sektor di kementerian masing-masing.
“Ini penting memandangkan ia akan dibentang pada pertengahan Oktober nanti, dan ia merupakan belanjawan ketiga yang akan dibentangkan oleh Anwar selepas yang pertama pada Februari 2023 dan kedua pada Oktober 2023,” ujarnya.
Anwar sebelum ini dilapor berkata, perencanaan belanjawan tersebut tidak akan lari daripada hala tuju ekonomi negara seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). – MalaysiaGazette