KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun melahirkan rasa bertuah kerana sempat berkhidmat dengan Allahyaham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah ketika arwah menjawat jawatan Ketua Hakim Negara kesembilan.
Peguam Negara berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai pegawai khasnya, Allahyarham Dzaiddin tidak pernah jemu berkongsi ilmu dan sentiasa berlapang dada serta sedia mendengar keluhan hati sesiapa sahaja.
“Saya amat bertuah kerana berpeluang berkhidmat bersama Allahyarham Tun Dzaiddin sebagai pegawai khas ketika beliau merupakan Ketua Hakim Negara.
“Keperibadian Allahyarham Tun Dzaiddin yang berhemah tinggi sangat disenangi ramai dan kehilangan ini pastinya dirasai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan bekas Ketua Hakim Negara itu meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court di sini, malam semalam.
Perkara itu disahkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Mohamed Apandi berkata, pemergian Allahyarham dimaklumkan pada 7.15 malam oleh rakan beliau yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Zawawi Salleh.
Dalam pada itu, Idrus menyifatkan Allahyarham Dzaiddin sebagai cemerlang dalam badan kehakiman Malaysia.
“Perkhidmatan cemerlang Allahyarham Tun Dzaiddin dalam badan kehakiman bermula sebagai Hakim di Mahkamah Atasan antara 1982 hingga 2000, sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Negara kesembilan,” katanya.
Peguam Negara turut merakamkan takziah kepada keluarga Toh Puan Noriah Tengku Ismail atas pemergian Allahyarham Dzaiddin.
“Segala jasa bakti Allahyarham Tun Dzaiddin akan sentiasa diingati dan semoga Allahyarham Tun Dzaiddin ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette