JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membelok tiba-tiba di Jalan Keembong 23, Taman Johor Jaya, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada pukul 11 malam itu melibatkan motosikal jenis Ranger Max Explorer ditunggang mangsa dan kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta tersebut datang dari Taman Mount Austin menghala ke Johor Jaya. Apabila sampai di lokasi kemalangan kereta berkenaan membelok ke kanan simpang.
“Pada masa tersebut datang motosikal mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, mangsa, Ahmad Fuad Ahmad Almi, 40, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat sementara pemandu kereta berkenaan, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Sohaimi menambah, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette