Saturday, December 14, 2024
Home Nasional Guna teknologi AI kawal sempadan negara

Guna teknologi AI kawal sempadan negara

Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan negara pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah strategik itu akan dilaksanakan  melalui pembangunan dan pelaksanaan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS).

Menurutnya, penggunaan teknologi terkini itu selari dengan perkembangan semasa dunia kerana sistem ini akan dilengkapi dengan pengawasan dan teknologi AI terkini.

“Sistem ini akan diguanakan untuk operasi tanpa pengawasan, kawalan pintar, penyebaran maklumat masa sebenar, dan pengawasan berterusan bagi meningkatkan kecekapan keselamatan sempadan.

“Kajian kebolehlaksanaan pembangunan NBCS ini sedang dijalankan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dengan kerjasama pakar daripada universiti awam, bermula pada 7 September 2023 dan dijangka siap pada November 2024,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN – Kuala Pilah) yang bertanya inisiatif KDN bagi meningkatkan penggunaan teknologi AI dalam memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

Shamsul Anuar menambah, sistem NBCS itu akan dilengkapi dengan sistem pengawasan dan teknologi AI yang terkini bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan.

“Penggunaan berasaskan teknologi AI ini akan membolehkan pengesahan objek dilaksanakan secara efektif, di samping dapat mengelakkan penggera palsu (false alarm).

“Ia juga dapat membantu pasukan keselamatan dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan.

“Buat masa kini, KDN dalam pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan NBCS di bawah peruntukan Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3, RMKe12).

“Kajian ini dilaksanakan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), KDN melalui pelantikan pasukan penyelidik dan pakar daripada universiti awam.

“Ia telah bermula pada 7 September 2023 dengan tempoh kajian selama 14 bulan yang dijangka berakhir pada November ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast