Pendakwah bebas yang juga Pengasas Al Mubin, Ustaz Wadi Annuar bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Produk Al Mubin ketika di ARCC Spaces, Mid Valley City. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menepis dakwaan kononnya beliau mengambil bayaran yang terlalu tinggi untuk mengadakan ceramah agama.

Pendakwah bebas itu berkata, beliau tidak pernah mengenakan sebarang bentuk bayaran untuk menyampaikan ilmu agama sejak mula muncul di khalayak pada 2008.

Katanya, beliau hanya menerima apa sahaja yang diberikan kepada penganjur yang mengundangnya untuk berceramah tanpa meminta jumlah tertentu.

“Untuk bayaran sejak 2008 kita tak pernah kenakan jumlah tertentu…tak ada sejak 2008 sampailah hari ini.

“Terpulang kepada pihak penganjur (berikan bayaran) jumlah tidak pernah ditentukan. Jadi, saya pun tak tahu daripada mana ayat mahal tu…saya pun tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Produk Al-Mubin, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan netizen yang mendakwa, pihaknya mengenakan jumlah tertentu yang agak tinggi untuk hadir berceramah.

Dalam pada itu, Mohamad Wadi berkata, pihaknya hanya mengenakan syarat yang ketat kepada penganjur sekiranya mahu mengundang beliau berceramah.

Katanya, syarat utama itu adalah penganjur perlu menyediakan tempat yang luas untuk dihadiri oleh Jemaah.

“Sebab pengalaman kita berceramah daripada 2008, selepas 2015 saya punya crowd (kehadiran jemaah) dah mula banyak.

“Kita ambil surau yang 200 orang, (tetapi) yang datang 3,000 orang…apa jadi tempat tu waktu ceramah. Jadi huru-hara orang balik, netizen marah saya juga…ustaz dah tau kecil ambik buat apa (berceramah).

“Kemudian kita ambil yang kapasiti 1,000 di masjid tapi, kehadiran 6,000 hingga 5,000 orang terlampau banyak pun netizen marah saya juga…ustaz ambiklah tempat yang luas sikit.

“Saya bincang dengan pasukan dan kami perlu cari tempat yang paling luas, kapasiti solat luas untuk keselesaan orang dengar ceramah, sebab tu kami buat syarat itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast