UMT menerusi Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) berjaya melepaskan kira-kira 55,000 anak benih ketam renjong di pantai  berhampiran kampus.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu menerusi Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) melepaskan kira-kira 55,000 anak benih ketam renjong di pantai  berhampiran kampus.

Program ini melibatkan penetasan dan pelepasan benih ketam renjong ke habitat semula jadi mereka, yang membolehkan populasi ketam ini membesar matang dengan baik.

Ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan terhadap populasi liar dan membantu mengekalkan sumber laut untuk generasi akan datang.

Ketam renjong atau nama saintifiknya Portunus pelagicus, merupakan spesies yang mempunyai nilai ekonomi tinggi, terutama di kalangan komuniti nelayan tempatan.

Penangkapan berlebihan dan kemusnahan habitat juga akan menyebabkan penurunan populasi ketam renjong di habitat semula jadi.

Oleh itu, pelepasan benih ketam renjong dapat membantu meningkatkan populasi ketam ini, sekali gus memastikan nelayan terus memperoleh hasil tangkapan yang mencukupi untuk menyara kehidupan mereka.

Dengan pelepasan benih ketam renjong, populasi ketam ini dapat dikekalkan pada tahap yang stabil, seterusnya menyokong keseimbangan ekosistem laut.

UMT berkata, pelaksanaan program pelepasan benih ketam renjong juga merupakan platform penyebaran pengetahuan mudah dalam meningkatkan kesedaran dan pendidikan komuniti mengenai pentingnya pemuliharaan ekosistem laut.

Melalui penglibatan nelayan dan komuniti tempatan dalam program ini, mereka dapat memahami kepentingan menjaga habitat semula jadi dan mengamalkan kaedah penangkapan yang beretika.

Kesedaran ini penting untuk mengubah sikap dan amalan dalam jangka masa panjang, seterusnya menyokong usaha pemuliharaan yang berterusan, tambahnya.

Pemuliharaan ekosistem melalui inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan dan kestabilan ekonomi nelayan, tetapi juga memastikan kemampanan sumber laut dan keseimbangan ekosistem agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast