Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mandatori selewat-lewatnya pada 11 November ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, nama Ahli Parlimen terbabit akan disiarkan di laman web rasmi Parlimen.

“Saringan perubatan ini diwajibkan kepada semua Ahli Parlimen dan tarikh terakhir ialah Isnin, 11 November,” katanya sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, maklumat yang diperlukan mengenai saringan kesihatan itu terkandung dalam surat yang dikeluarkan kepada Ahli-ahli Parlimen baru-baru ini.

Katanya, mereka juga perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Klinik Parlimen dan Penasihat Kesihatan Parlimen, Dr Murugesu Raju.

Menurut Johari, Ahli Parlimen akan dibenarkan membuat saringan kesihatan di klinik Parlimen atau mana-mana kemudahan swasta.

“Ia akan banyak membantu dalam menilai status kesihatan Ahli Parlimen dan membolehkan langkah pencegahan segera diambil.

“Kementerian Kesihatan bersetuju untuk menjalankan saringan dan tanpa pengecualian, semua Ahli Parlimen diberikan surat saringan kesihatan,” ujarnya.

Terdahulu Johari berkata, pada tahun lepas beliau telah melihat sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen tumbang semasa berada di Dewan Rakyat sejak 15 tahun lalu – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast