GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memulakan operasi projek Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) kedua pada September depan bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, Projek WCP 2030 pertama ialah modul rawatan air DAF 10 juta liter sehari (MLD) baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor telah beroperasi pada Disember tahun lalu sekali gus menghasilkan sehingga 10 JLH air terawat tambahan untuk bekalan Seberang Perai Selatan (SPS).
Jelas beliau, projek WCP 2030 kedua pula membabitkan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang akan membolehkan pihaknya mengeluarkan tambahan 114 JLH air terawat untuk disalurkan di kawasan perkhidmatan LRA tersebut, yang merangkumi beberapa kawasan di SPS dan Daerah Barat Daya di bahagian pulau.
“Kerja-kerja projek ketiga dan keempat WCP 2030 akan bermula pada November dan Disember ini melibatkan pemasangan saluran paip sepanjang 13 kilometer dari LRA Sungai Dua ke Butterworth.
“Projek keempat akan menyaksikan pemasangan 3.9 km lagi saluran paip 1.8 meter dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar di bahagian pulau.
“Dua projek saluran paip utama ini akan mempertingkatkan dengan ketara kapasiti pengepaman air terawat PBAPP dari LRA Sungai Dua ke DBD di Pulau Pinang apabila mula beroperasi tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Pathmanathan, kemajuan kerja projek WCP 2030 setakat ini mencerminkan komitmen PBAPP untuk membangunkan infrastruktur bekalan air baharu dan tambahan di Pulau Pinang.
“Kita mengotakan apa yang dikatakan dengan memberi respons terhadap permintaan air yang semakin meningkat dari 689,786 pengguna air di negeri ini.
“Sehingga kini, PBAPP telah melabur kira-kira RM51.52 juta untuk projek pertama dan kedua WCP 2030 serta Pelan Tindakan SPS pada 2023 serta 2024.
“Manakala bagi projek ketiga dan keempat WCP 2030 yang melibatkan kerja-kerja pemasangan paip utama di Seberang Perai dan Pulau Pinang, akan melibatkan pelaburan tambahan sebanyak RM172.0 juta pada tahun ini serta tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette