Lokasi penemuan mayat lelaki dalam keadaan terbakar 23 JUn lalu sebelum membawa kepada tangkapan empat suspek 11 Julai lalu oleh polis Kajang.

KUALA LUMPUR – Empat individu yang disyaki membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar pada 23 Jun di Semenyih, Selangor ditahan polis  di Batu 14 Hulu Langat pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mayat tersebut ditemui di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih.

“Hasil pemeriksaan dapati kesemua yang ditangkap positif dadah jenis METH dalam ujian awal saringan air kencing manakala dua daripada mereka mempunyai lebih dari 20 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan isu hutang antara mangsa dan suspek.

Katanya, mangsa merupakan penganggur berusia 28 tahun dan berhutang wang berjumlah  RM7,000 dengan suspek yang juga rakan kenalannya sebelum permasalahan itu disyaki berakhir dengan pembunuhan.

“Tiga suspek akan dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Kompleks Mahkamah Kajang pada jam 9 pagi esok (Jumat).

“Manakala seorang lagi suspek akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan dalam pertuduhan kes tersebut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat dan pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast