BUKIT MERTAJAM – Arun Spices menafikan dakwaan kilang rempah mereka yang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada Rabu lalu.

Wakil syarikat, Norazani Azhar berkata, dakwaan yang dikaitkan dengan syarikat yang terletak di Permatang Tinggi di sini, telah menyebabkan gangguan terhadap operasi harian mereka.

Beliau yang juga Eksekutif Bahagian Halal syarikat tersebut berkata, mereka yang mengusahakan barangan berasaskan rempah ratus itu memiliki sijil halal keluaran Jakim sejak 2018.

“Tujuan saya panggil sidang media ini untuk buat penafian kilang rempah atau Arun Spices yang dikaitkan dengan dakwaan tidak miliki sijil halal.

Norazani menunjukkan logo halal JAKIM pada bungkusan rempah keluaran Arun Spices.

“Untuk makluman semua terdapat beberapa kilang memproses rempah ratus di Permatang Tinggi di sini, jadi tidak wajar untuk kaitkan kami adalah kilang yang diserbu KPDN baru-baru ini.

“Malah, kami turut memberi penekanan berkaitan sijil halal ini bagi menjaminkan kualiti kepada pelanggan dalam negara ini,” katanya pada sidang media di pejabat urusannya di sini, hari ini.

Tambah Norazani, impak video tular yang mengaitkan mereka dengan kilang rempah diserbu KPDN itu turut menyebabkan mereka dihubungi scammer.

“Sejak semalam kami menerima panggilan daripada pelanggan, pembekal untuk mendapatkan kepastian berhubung dakwaan yang dikaitkan selain ada pihak yang cuba ambil kesempatan mengugut kami berkaitan isu sama,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Kilang rempah guna sijil halal tamat tempoh lapan tahun lalu diserbu

MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan, tindakan pemilik sebuah kilang memproses rempah ratus di Permatang Tinggi di sini, mengaut keutungan dengan menggunakan sijil halal yang sudah tamat tempoh lapan tahun lalu membawa padah selepas premisnya diserbu pihak berkuasa

Serbuan selama lima jam yang berakhir puj 4 petang itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). – MalaysiaGazette