BUTTERWORTH – Seorang pekerja kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki item-item berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dalam telefon bimbit pada Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa memiliki item berkaitan IS di dalam sebuah telefon bimbit jenis Redmi Note 11 miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Sungai Dua di sini, jam 9.35 pagi pada 23 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan merampas harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan semula 19 Ogos depan. – MalaysiaGazette