Anggota penguat kuasa JIM Johor melakukan pemeriksaan pekerja warga asing dalam operasi serentak di kawasan hotspot seluruh negeri Khamis lalu

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 131 warga asing dan seorang majikan warga tempatan selepas menggempur lokasi panas antaranya di pasar basah, tapak pembinaan dan pusat urut di lima daerah, Khamis lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilakukan secara serentak melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM negeri Cawangan di sini, Mersing, Batu Pahat, Segamat dan Muar.

“Operasi di Senai, Johor Bahru melibatkan Ops Selera, Ops Belanja dan Ops Gegar dengan jumlah pemeriksaan di 65 premis iaitu di pasar basah, medan selera dan pusat urut. Seramai 206 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa.

“Tangkapan dibuat melibatkan 106 warga asing iaitu 26 lelaki dan 32 wanita warga negara Indonesia, 29 lelaki dan lapan wanita warga Myanmar, lima lelaki Bangladesh, tiga wanita Vietnam, seorang lelaki Filipina dan seorang lelaki Nepal.

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 65 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Katanya, Ops Sapu di Mersing melibatkan melibatkan pemeriksaan di dua tapak pembinaan dan seramai 21 warga asing diperiksa.

Daripada jumlah tersebut katanya, enam ditahan iaitu empat lelaki Indonesia dan dua lelaki Bangladesh yang berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

Menerusi Ops Bersama, Ops Selera dan Ops Mahir di Batu Pahat pula katanya, sebanyak 14 premis asrama pekerja asing dan kedai makan diperiksa.

“Tangkapan dibuat melibatkan 12 warga asing dan seorang warga tempatan iaitu seorang lelaki Indonesia, enam lelaki Bangladesh dan empat wanita Myanmar berusia 26 hingga 48 tahun. Warga tempatan itu merupakan lelaki berusia 55 tahun yang merupakan majikan di sebuah premis,” katanya.

Sementara di Segamat, Mohd Rusdi berkata, Ops Mahir dilakukan di enam premis rumah kedai dan pemeriksaan dilakukan ke atas 12 warga asing dan warga tempatan.

Anggota penguat kuasa JIM Johor melakukan pemeriksaan pekerja warga asing dalam operasi serentak di kawasan hotspot seluruh negeri Khamis lalu

Menurutnya, tiga lelaki Myanmar ditahan manakala Ops Selera dan Ops Mahir di Muar melibatkan lapan premis, 95 warga asing dan warga tempatan diperiksa dengan empat lelaki Bangladesh ditahan.

Semua warga asing itu katanya, ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit kerja yang sah dan Seksyen 15(1)(C) akta yang sama kerana tinggal lebih lama di negara ini, katanya.

Lelaki tempatan itu ujarnya, ditahan atas kesalahan bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Jabatan Imigresen Johor akan terus mengesan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara haram serta terlibat aktiviti tidak bermoral. JIM tidak akan berkompromi dan akan mempergiat operasi penguatkuasaan malah akan terus menggempur lokasi-lokasi hotspot di seluruh negeri,” katanya.

JIM Johor tambahnya, menyeru PATI yang layak untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang berkuat kuasa 1 Mac lalu hingga 31 Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast