KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing direman empat hari bermula semalam sehingga 23 Julai depan dipercayai terlibat kes seluk saku di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan semalam oleh pihak polis selepas menerima laporan daripada pengadu pada jam 2.04 pagi.
“Ibu Pebajat Polis Daerah (IPD) KLIA telah menerima laporan daripada pengadu memaklumkan kejadian berlaku pada 19 Julai sekitar jam 9.45 malam.
“Suspek bertindak melarikan diri apabila dikejar orang awam kerana dipercayai mencuri dompet milik orang lain yang berada di Terminal 1 KLIA.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek merupakan warga asing yang telah datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial yang sudah melebihi tempoh dibernarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Azman, susulan itu satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (AKTA 155).
Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut berhubung penglibatan suspek dalam jenayah seluk saku dan lain-lain masih dilakukan.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dan berhuung dengan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Muhammad Fadzil Zulkifli di talian 011-27132165,” jelasnya. – MalaysiaGazette