KUALA LUMPUR – Datuk Aiman Athirah Sabu menasihatkan seorang pemilik akaun Facebook supaya menurunkan hantaran atau berdepan tindakan undang-undang.
Peringatan itu susulan satu hantaran menfitnah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu secara mempamer poster mengaitkannya dengan syarikat minuman keras.
Beliau memberi tempoh 48 jam dan pasukannya sedang mengumpul semua maklumat dan berita palsu berkaitan hantaran di Facebook berkenaan.
“Saya nasihatkan Md Nor Azam Yusof turunkan posting ini dan hentikan sebaran fitnah atau berhadapan tindakan undang-undang.
“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk mengumpul semua maklumat dan berita palsu berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Aiman Athirah berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit dan menasihatinya agar menghentikan sebaran fitnah itu.
“Saya sama sekali tidak pernah menghalalkan arak tetapi, malang sekali ramai pula kelompok takfiri yang menghalalkan fitnah dan percubaan jahat mengaibkan saya dengan fitnah,” ujarnya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Md Nor Azam Yusof memuat naik poster memaparkan gambar Aiman Athirah dan minuman keras dengan tulisan kapsyen ‘biasa lah anak kelahiran roket’.
Pada Jumaat lalu, Aiman Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dilapor telah memberi penjelasan mengenai kehadirannya pada satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.
Katanya, sebagai tetamu yang diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Terdahulu hari ini, Amanah Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap individu terbabit susulan fitnah yang dilemparkan terhadap Aiman Athirah.
Laporan polis tersebut dengan tujuan meminta polis menjalankan siasatan ke atas pemilik-pemilik akaun Facebook itu di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 dan 5 Akta Fitnah 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
Amanah WP pula buat laporan polis fitnah Aiman Athirah dengan minuman keras