PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam proses terakhir untuk menambah 40 pagar automatik (autogate) di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengatasi masalah kesesakan di pintu masuk utama negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah yang diambil itu merupakan merupakan persiapan awal Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
“Kedua-dua lapangan terbang utama berkenaan kini mempunyai sebanyak 40 sistem autogate yang sedang berada dalam kegunaan.
“Bagaimanapun, mengambil kira situasi dan keperluan semasa di pintu masuk udara itu kami telah mengadakan rundingan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd untuk penambahan 40 lagi autogate.
Beliau bekata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Imigresen 2024 di Dataran Pahlawan, di sini bermula 8 pagi tadi.
Menurut Saifuddin, bagi menangani isu sama yang timbul di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAP) pihak JIM juga akan menambah bilangan autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAP) bagi mengatasi maalah yang sama.
“Sebab sekarang ketibaan pesawat antarabangsa juga mendapat liputan media bila kesesakan berlaku maka kita komited untuk mengambil Langkah proaktif menerusi penambahan autogate bagi menangani isu tersebut dan memberi perjalanan selesa untuk penumpang,” ujarnya.