Pelarian Palestin meninggalkan Kawasan timur Khan Younis selepas tentera Israel mengeluarkan perintah evakuasi baharu pada 22 Julai 2024. Foto AFP

GAZA CITY – Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dan lebih 200 lagi cedera dalam serangan Israel di bandar Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, tentera Israel sebelum ini mengarahkan penduduk Palestin yang tinggal di kawasan kejiranan timur di Khan Younis untuk berpindah serta-merta,

Agensi berita rasmi Palestin Wafa melaporkan, penduduk dilihat melarikan diri dari Kawasan penempatan sementara dengan berjalan kaki dan menaiki kereta di tengah-tengah pengeboman Israel.

Pasukan perubatan di Kompleks Perubatan Nasser menyeru penduduk ‘menderma darah dengan segera’ untuk mereka yang cedera di tengah-tengah kekurangan unit darah yang teruk.

Dalam satu kenyataan, jurucakap tentera Israel Avichay Adraee mendakwa bahawa “kehadiran beberapa operasi ketenteraan dan tembakan roket dari bahagian timur Khan Younis telah menjadikan Kawasan itu berbahaya.”

Tentera sebelum ini telah menetapkan kawasan kejiranan timur Khan Younis sebagai “zon selamat” untuk penduduk Palestin yang dipindahkan di kawasan itu.

Dua minggu lalu, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin dan mencederakan 300 yang lain dalam serangan di kawasan al-Mawasi berhampiran Khan Younis, yang telah ditetapkan oleh tentera sebagai “zon selamat.”

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mempertahankan pembunuhan beramai-ramai itu, berkata serangan itu menyasarkan komander sayap bersenjata Hamas, Mohammed Deif, dan timbalannya.

Walau bagaimanapun, tiada pengesahan Israel mengenai kematian komander itu.

Hampir 40,000 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 89,900 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan serta-merta operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, di mana lebih 1 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang.-Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast