Majlis Perasmian Operasi AirAsia di LTSAAS berlangsung hari ini.

SUBANG  – AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah utama ASEAN mahu menuntut ganti rugi ke atas pihak yang terbabit dalam isu gangguan IT global baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihak berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap situasi yang menjejaskan perkhidmatan penerbangan secara global.

Namun, jelas beliau, sehingga kini tiada wakil pihak berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan apa yang berlaku.

“Prinsipnya jika kita melakukan sesuatu yang salah, kita perlu membayar pampasan. Kami, syarikat penerbangan lain dan perniagaan lain, rugi banyak.

“Mereka sepatutnya menawarkan pampasan kepada kami dan sekarang ini kami perlu tunggu dan lihat,” katanya selepas Majlis Perasmian Operasi AirAsia di LTSAAS di sini hari ini.

Jumaat lalu, institusi utama termasuk syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara, dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global yang dikaitkan dengan CrowdStrike.

Gangguan itu dikaitkan dengan firma keselamatan siber global CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Sabtu lalu, dalam siaran LinkedIn Sabtu, Tony berkata, gangguan IT global telah menyebabkan syarikat penerbangan kehilangan pendapatan berjuta-juta ringgit dan telah mencetuskan huru-hara dalam kehidupan orang ramai akibat kegagalan sistem.

Sementara itu dalam ucapannya, Tony menjelaskan antara kerugian yang dihadapi AirAsia ialah penjualan tiket dan empat penerbangan domestik AirAsia telah dibatalkan berikutan gangguan IT.

Dilaporkan situasi operasi AirAsia nampaknya telah stabil di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dan AirAsia telah menyambung semula operasi daftar masuk dalam talian pukul 2 petang pada hari tersebut.

AirAsia menguruskan lebih 168,000 penumpang dalam 941 penerbangan merentasi tujuh Sijil Pengendali Udara (AOC), yang termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Indonesia, Thai AirAsia, AirAsia Kemboja, AirAsia X dan Thai AirAsia X. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast