Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis menerima sembilan laporan mengenai penipuan tawaran perkhidmatan ‘Eco Recycling’ dengan nilai kerugian keseluruhan RM243,693.50 sejak Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan satu taktik penipuan ‘phishing’ melalui tawaran pembelian barangan terpakai yang diiklankan di Facebook ‘Eco Recycling’.

Katanya, melalui iklan tersebut, pihak syarikat menawarkan pembelian pelbagai barangan terpakai seperti peralatan elektrik, gajet, surat khabar, pakaian dan lain-lain.

“Mangsa yang berminat untuk menjual barangan terpakai, mereka diminta untuk mendaftar di aplikasi ‘Home Solution’ yang dimuat turun dengan menggunakan pautan dihantar melalui WhatsApp,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ramli berkata, setelah mendaftar, mangsa dikehendaki membuat pembayaran deposit sebanyak RM10 bagi tujuan menempah slot untuk kutipan barangan yang hendak dijual.

Jelasnya, mangsa kemudian akan dibawa ke paparan laman web perbankan palsu yang bertujuan untuk mendapatkan data nama pengguna dan kata laluan mangsa.

“Setelah memasukkan nama pengguna dan kata laluan, laman web tersebut tidak dapat diakses kononnya ‘under maintenance’, (sedang dinaiktaraf).  Telefon milik mangsa juga akan digodam,” ujarnya.

Tambah beliau, mangsa hanya mengetahui telah ditipu apabila mendapati wang miliknya telah dipindahkan ke beberapa akaun bank yang tidak dikenali tanpa pengetahuannya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, ‘phishing’ adalah satu bentuk serangan siber di mana penjenayah cuba untuk mendapatkan maklumat peribadi, seperti kata laluan, nombor kad kredit, atau data sensitif lain dengan menyamar sebagai entiti yang dipercayai.

“Serangan ini biasanya dilakukan melalui e-mel, mesej teks, atau laman web palsu yang kelihatan sah.

“Tujuan utama ‘phishing’ adalah untuk menipu mangsa agar memberikan maklumat peribadi mereka secara sukarela,” jelasnya.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan tidak terlalu mudah untuk memuat turun sebarang fail aplikasi yang diterima melalui mesej, emel dan seumpamanya.

“Jangan muat turun fail aplikasi ke telefon pintar dan hanya lakukannya melalui platform yang selamat dan dipercayai seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast