KUANTAN – Hubungan dengan Allah perlu jaga.
Itu rahsia kejayaan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana di sini yang memperoleh keputusan 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Aienur Salmalisa Mohd Jafri, 20, tidak pernah meninggalkan solat tahajud sebulan sebelum tempoh peperiksaan berlangsung.
“Saya bukan jenis ulangkaji awal-awal. Sebulan sebelum peperiksaan, saya akan bangun hari-hari pukul 4 pagi dan akan solat tahjud,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian keputusan STPM di sini hari ini.
Aienur yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru meluahkan rasa syukur kerana tidak menyangka sama sekali dapat keputusan cemerlang selepas hanya memperoleh keputusan 6A ketika peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sebelum ini.
Selain itu, anak peneroka Felda Bukit Goh itu memberitahu restu daripada ibu bapa penting sebelum melangkah kaki masuk ke dewan peperiksaan.
“Sebelum masuk peperiksaan pula saya akan minta restu ibu bapa, minta semoga dipermudah saya untuk jawab soalan. Hubungan dengan ibu bapa pun perlu jaga selain hubungan Tuhan,” tambahnya.
Sementara itu, rahsia kejayaan bagi Ammar Yasir Azmi, 20, pula ialah menjaga hubungan dengan Allah dan guru selain perlu rajin belajar.
Jelas anak bongsu daripada sembilan adik beradik itu, setiap pelajar perlu rajin untuk memahami sesuatu pelajaran bukan hanya menghafal.
“Kerana STPM ini merupakan aliran yang perlu untuk pelajar rajin membaca dan memahami. Sebab bagi saya menghafal itu tidak penting. Apa yang penting adalah memahami apa yang kita belajar,” katanya.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang hari ini mengumumkan 106 pelajar daripada 28 sekolah memperolah keputusan 4.0 di mana seramai tujuh daripada mereka adalah daripada SMK Astana. – MalaysiaGazette