KUALA LUMPUR – Seramai enam suspek yang pernah ditahan dan direman polis untuk membantu siasatan berkaitan kes kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette berkata, mereka dijamin selepas tempoh reman tamat.
“Kesemua suspek termasuk tiga anggota polis berumur antara 31 dan 55 tahun itu telah diberikan jamin polis setelah tempoh reman tamat semalam (Selasa).
“Bagaimanapun, dalam kes berkenaan, polis sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum kertas siasatan lengkap diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas dihubungi hari ini.
Pada 21 Julai lalu, polis mengesahkan pihaknya selesai mengambil keterangan daripada sembilan saksi untuk membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api tersebut.
Pada minggu lalu, Hussein telah mengesahkan tentang tangkapan enam individu termasuk tiga anggota polis berpangkat rendah bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api di pangkalan udara itu.
Katanya, laporan polis berhubung kehilangan bahan api berkenaan diterima pihaknya sebelum membawa kepada tangkapan enam suspek tersebut.- MalaysiaGazette