Feri Pulau Kapas dilaporkan karam separuh hari ini akibat mengalami kebocoran di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Feri Pulau Kapas dilaporkan karam separuh akibat mengalami kebocoran di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di sini, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai Feri Pulau Kapas itu karam pada jam 3.26 pagi.

Jelas beliau, feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH itu mengalami kebocoran dan tidak boleh lagi dibaik pulih.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati Feri Pulau Kapas karam separuh bahagian sahaja memandangkan air laut masih surut.

SPPP memutuskan untuk melupuskan semua feri ikonik.

“SPPP telah mengambil tindakan segera dengan menambah tali mengikat feri (mooring lines), memasang oil boom bagi mencegah sebarang tumpahan minyak dari bilik enjin.

Feri Pulau Kapas yang dibina pada tahun 1981 ini ditamatkan operasinya pada 31 Mei 2020 dan seterusnya feri berkenaan telah ditempatkan di PSAH.

Feri Pulau Kapas telah diserahkan kembali kepada SPPP oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 1 Januari 2021.

Mengulas lanjut Soon Hin berkata, pada 2021 SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikan ia sebagai produk pelancongan di Pulau Pinang.

“Namun, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023.

“Selain itu, SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli/menyewa feri-feri ikonik namun isu utama adalah berkaitan kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang tidak sesuai.

“Justeru itu, SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast