Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan reman dua beranak kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM 13 yang didalangi oleh beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di daerah ini.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan terhadap dua beranak terbabit dikeluarkan oleh Majistret Marilyn Kelvin setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek pertama yang berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama anak perempuannya yang berusia 30-an.

Katanya, mereka telah ditahan kira-kira jam 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

“Kedua-dua ibu dan anak ini dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM 13 kepada pelarian dari Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dan ia melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast