PUTRAJAYA -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima lebih 200 panggilan kecemasan setiap hari berhubung pembakaran terbuka dalam tempoh dua hari lalu sejak bermula Monsun Barat Daya (MDB).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu merupakan peningkatan empat kali ganda berbanding sebelumnya yang hanya menerima antara 50 hingga 60 panggilan setiap hari.
“Dalam empat hari ini berlaku lonjakan mendadak berhubung kebakaran terbuka yang direkodkan, lebih 100 panggilan dan dua hari terakhir ini, kita menerima panggilan sebanyak 249 kes dan semalam 244 kes yang melibatkan empat negeri utama iaitu Perak, Selangor, Johor dan Sarawak.
“Berdasarkan perangkaan JBPM sejak 27 Julai hingga hari ini, sebanyak 2,491 kes kebakaran terbuka direkodkan dengan 124 kes kebakaran kebun dan ladang, kebakaran hutan (218 kes), kebakaran belukar dan lalang (1,597 kes) manakala kebakaran sampah (552 kes).
“Bagi negeri yang paling tertinggi berlaku kebakaran terbuka adalah di Perak iaitu sebanyak 515 kes, Selangor (344 kes) dan Terenggangu (289 kes).” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pencegahan Lemas Sedunia pada Majlis Perhimpunan Bulanan di ibu pejabat JBPM, di sini, hari ini.
Tambah beliau, peningkatan panggilan kecemasan itu meningkat disebabkan oleh Monsun Barat Daya (MDB) yang bermula pada 17 Mei dan dijangka berterusan sehingga September ini.
Beliau berkata, JBPM akan mengatur gerak anggota untuk operasi pemadaman terbuka dibuat dengan lebih efisen bagi mengelakkan wujudkan lompang perlindungan berkaitan dengan kebakaran.
“Pada musim tengkujuh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Keadaan ini membawa kepada penurunan pembentukan awan hujan yang seterusnya membawa kepada penurunan hujan dalam tempoh ini.
“Jadi bila berlaku kebakaran sepatutnya kita cuba capai untuk 10 minit kepada mana-mana insiden yang berlaku dalam lingkungan 25 kilometer dari balai terdekat ini,”jelasnya. – MalaysiaGazette
















