BENGALURU- Tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di India mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 terbunuh manakala ratusan lagi terperangkap di bawah lumpur, kata pihak berkuasa negara itu.
Menurut laporan media tempatan, pesisiran pantai di selatan Kerala dilanda hujan lebat luar biasa dan dalam masa sama jambatan utama berhampiran lokasi kejadian di daerah Wayanad runtuh menyukarkan lagi usaha-usaha menyelamat.
“Setakat ini, kami telah menerima 24 mayat di beberapa hospital.
“Ramai yang cedera dan sedang diberikan rawatan,” kata Menteri Kesihatan Kerala, Reena George.
Menurut pasukan tentera India, mereka telah menghantar lebih 200 askar ke kawasan terjejas untuk membantu pasukan keselamatan dan juga bomba dalam operasi mencari dan menyelamat.
Perdana Menteri India, Narenda Modi menerusi hantaran di aplikasi X memberitahu, kerajaan Kerala akan menyalurkan semua jenis bantuan ke kawasan terjejas.
“Doa dan ingatan saya bersama semua ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dan cedera,” katanya.
Agensi pengurusan bencana negeri meramalkan lebih banyak hujan lebat dan angin kencang akan melanda Kerala pada Selasa.- Agensi