Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mana-mana pemandu pelancong yang telah mengemukakan permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan tidak akan dikenakan tindakan kompaun.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi jaminan tindakan kompaun juga tidak diambil kepada mereka yang masih menunggu kelulusan dan kad kuasa daripada kementerian.

“Pemandu pelancong dikehendaki menghubungi pejabat MOTAC negeri bagi mendapatkan penerangan lanjut serta memastikan mereka tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang semasa menunggu proses pembaharuan selesai,” demikian menurut kenyataan itu.

MOTAC dalam pada itu berkata, pemandu pelancong berlesen disaran untuk menghadiri kursus pemantapan kompetensi seperti kursus Continuing Tourism Related Education (CTRE) sebagai prasyarat pembaharuan lesen dan mengemukakan permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh ditetapkan selaras Seksyen 32 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Kursus berkenaan adalah latihan berterusan yang bertujuan menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu pelancong.

Mengulas lanjut, MOTAC menegaskan, pemandu pelancong yang beroperasi tanpa lesen yang sah atau dengan lesen tamat tempoh dan belum mengemukakan permohonan pembaharuan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Menerusi Operasi Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dilaksanakan sejak 2 Julai 2024, sebanyak 12 notis pemeriksaan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta 482.

“Seksyen tersebut menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh bertindak, atau menganjurkan dirinya sebagai seorang pemandu pelancong melainkan dia dilesenkan di bawah akta tersebut,” menurut MOTAC yang memandang serius perkhidmatan pemandu pelancong yang beroperasi tanpa lesen atau lesen telah tamat tempoh sejak kebelakangan ini.

MOTAC menjelaskan, sekiranya berlaku pelanggaran kepada peruntukan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM7,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua permohonan lesen baharu dan pembaharuan lesen boleh dikemukakan secara atas talian melalui sistem Tourism Licensing & Enforcement System (TOURLIST) di laman sesawang (http://www.tourlist.gov.my).

“Jika anda telah mengemukakan permohonan namun tidak menerima sebarang maklum balas, sila hubungi kami untuk mendapatkan bantuan lanjut,” jelas kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette