Singapore Airlines

ANKARA – Syarikat penerbangan dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia telah menggantung penerbangan ke Israel dan Lubnan, berikutan kebimbangan keselamatan susulan perkembangan terkini di Timur Tengah.

Keputusan itu dibuat ekoran pembunuhan ketua politik Hamas Ismail Haniyeh pada Rabu di Tehran.

Tindakan balas yang dijangkakan daripada Iran terhadap Israel telah meningkatkan risiko keselamatan, menjejaskan operasi syarikat penerbangan.

United Airlines, yang mengendalikan 14 penerbangan mingguan antara New York dan Israel, telah menggantung penerbangan ke Israel sehingga 6 Ogos.

Delta Airlines juga menggantung penerbangan ke Israel, manakala British Airways membatalkan penerbangannya ke negara itu pada hari Rabu.

Swiss International Air Lines juga menangguhkan penerbangan antara Zurich dan Tel Aviv sekurang-kurangnya hingga 8 Ogos, demi keselamatan anak kapal dan penumpang.

Selain itu, penggantungan penerbangan Zurich-Beirut, yang pada mulanya dijangka berakhir pada 29 Julai, telah dilanjutkan kepada 12 Ogos.

Syarikat penerbangan Jerman Lufthansa mengumumkan telah menangguhkan penerbangan ke Beirut dan Tel Aviv masing-masing sehingga 8 Ogos dan 12 Ogos, kerana kebimbangan keselamatan.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia akan memantau keadaan di lapangan untuk menentukan bila penerbangan boleh disambung semula.

Air India juga membatalkan penerbangannya ke Tel Aviv sehingga 8 Ogos, juga atas alasan keselamatan.

ITA Airways, syarikat penerbangan Itali, mengumumkan penerbangan ke dan dari Tel Aviv digantung sehingga 6 Ogos “disebabkan perkembangan geopolitik di Timur Tengah dan untuk memastikan keselamatan penumpang dan anak kapalnya.”

Syarikat penerbangan kebangsaan Poland LOT turut membatalkan lapan penerbangan ke Lubnan dan Israel yang dijadualkan pada 3-4 Ogos, menurut agensi berita Poland PAP.

Syarikat penerbangan Belanda, KLM juga membatalkan semua penerbangannya ke dan dari Israel sehingga 26 Okt.

Aegean Airlines dan Condor Airlines juga menggantung penerbangan dari Athens ke Beirut sehingga 1 Ogos kerana ketegangan serantau.

Singapore Airlines (SIA) berkata, ia akan mengelak ruang udara Iran berikutan peningkatan ketegangan Timur Tengah.

Penggantungan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dan potensi konflik yang lebih meluas antara Iran dan kumpulan Hizbullah Lubnan di satu pihak dan Israel di pihak yang lain.

Penerbangan terhenti berikutan pembunuhan Komander Kanan Hezbollah, Fuad Shukr oleh Israel pada hari Selasa dan pembunuhan Ismail Haniyeh yang didakwa Hamas dan Iran dibunuh oleh Israel di Tehran, Rabu lalu.

Hamas dan Iran telah berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan Haniyeh, manakala Hezbollah telah berjanji untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr. – Agensi