TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan potensi normalisasi dengan Arab Saudi sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada November.
Menurut laporan berita Israel, Channel 12, Netanyahu membuat keputusan itu kerana perkembangan politik AS yang bergerak pantas.
Beliau memberi pertimbangan ia mungkin berbaloi untuk menunggu sama ada calon Republikan dan bekas presiden, Donald Trump kembali berkuasa di White House.
Laporan TV tidak bersumber mencadangkan keputusan itu mempunyai implikasi besar.
Ini termasuk untuk perbincangan ke arah kemungkinan perjanjian gencatan senjata tebusan kerana normalisasi dengan Arab Saudi akan membentuk “jaring keselamatan” untuk Netanyahu jika kerajaannya runtuh.
Laporan itu datang hampir seminggu selepas seorang pegawai Israel memberitahu pemberita semasa taklimat di Washington bahawa perjanjian normalisasi antara Israel dan Arab Saudi masih boleh dilakukan sebelum pilihan raya presiden pada November.
Netanyahu juga dilaporkan telah membincangkan perkara itu dengan Presiden AS, Joe Biden semasa mesyuarat di White House.
Usaha normalisasi antara Israel dan Arab Saudi telah diapungkan berulang kali sejak Abraham Accords 2020 yang diusahakan oleh AS menyaksikan Israel menjalin hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi.
Pegawai era Trump sering mendakwa bahawa hubungan antara Baitulmaqdis dan Riyadh akan diperkukuh sekiranya Trump dipilih semula pada akhir tahun itu.
Di bawah pentadbiran Biden, langkah itu dikatakan hampir membuahkan hasil namun terhenti akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober dan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza selepas itu.
Serangan berterusan Israel ke atas Gaza lebih 10 bulan sehingga kini telah menyebabkan kematian hampir 40,000 nyawa dengan kebanyakan bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Israel turut memusnahkan kawasan perumahan, kemudahan awam, hospital, pusat pendidikan dan khemah pelarian. – Agensi