KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 43 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos bagi PRK Dewan Negeri N.43 Nenggiri, Kelantan pada 5 Ogos ini.
Pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh Petugas Pilihan Raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kertas undi pos yang telah dikeluarkan adalah terdiri daripada 41 undi pos Kategori 1A (petugas pilihan raya dan anggota polis), dan dua undi pos bagi Kategori 1C (agensi dan organisasi).
Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos.
Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 13 Ogos 2024 (Selasa) nanti.
SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum pukul 5:00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 17 Ogos 2024.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. – MalaysiaGazette