BEIJING – China menggesa rakyatnya untuk berhati-hati ke Lubnan di tengah-tengah ketegangan di wilayah berikutan pembunuhan ketua biro politik Hamas Ismail Haniyeh di Tehran dan komander kanan Hezbollah, Fouad Shukr di Beirut.
Kedutaan China di Lubnan berkata, keadaan keselamatan di rantau itu adalah teruk dan kompleks, oleh itu rakyat China harus berhati-hati apabila melakukan perjalanan ke Lubnan.
“Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan China di Lubnan mengingatkan rakyat China supaya memberi perhatian yang teliti terhadap perkembangan keadaan tempatan dan berhati-hati apabila melakukan perjalanan ke Lubnan dalam masa terdekat,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.
Ketegangan semakin memuncak antara Hezbollah dan Israel sejak Tel Aviv membunuh Fouad Shukr dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut pada 30 Julai lalu.
Ketua Biro politik Hamas, Ismail Haniyeh turut dibunuh di Tehran, pada hari berikutnya.
Israel dituduh menjadi dalang pembunuhan tersebut walaupun Tel Aviv tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.
Hamas dan Iran telah berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan Haniyeh, manakala Hezboullah telah berjanji untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr.
Kebimbangan semakin memuncak berhubung perang besar antara Israel dan kumpulan Hezbollah di tengah-tengah berbalas tembakan merentas sempadan selama berbulan-bulan.
Peningkatan itu berlaku dengan latar belakang serangan Israel ke atas Gaza yang telah membunuh hampir 40,000 orang sejak Oktober lalu berikutan serangan oleh Hamas. – Agensi