KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan tiga kali sebatan kepada dua lelaki yang didapati bersalah menyamun seorang lelaki warga Myanmar, Jun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu setelah kedua-dua tertuduh mengaku salah perbuatan itu setelah pertuduhannya dibacakan hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Shahrel Omar, 32, dan Mat Yusri Mat Osman, 28, tidak bekerja dan menganggur ketika kesalahan secara berkumpulan itu dilakukan.
Mahkamah memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 25 Julai bagi Muhammad Shahrel.
Untuk Mat Yusri pula, hukuman bermula dari 26 Julai lalu.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan samun terhadap mangsa, Myo Min Win dengan melarikan pasport dan kad pengenalan, sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,500.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa berjalan kaki di Jalan Metro Perdana Timur 2, dia telah ditahan oleh dua lelaki berpakaian biasa yang kemudian memperkenalkan diri sebagai polis.
Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang kad kuasa, mereka meminta pasport mangsa sebelum bertindak melarikan diri dengan mengambil beg silang mangsa.
Anggaran jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM2,000.
Perbuatan itu dilakukan pada malam 29 Jun di sebuah pusat beli-belah di Sentul di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. – MalaysiaGazette