Mohd Harrif Saleh

KUALA LUMPUR  – Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh atau dikenali sebagai Mamat sedia menggalas cabaran Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) jika disenaraikan pada perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Harrif sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi membantu pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu pada mana-mana kejohanan selagi kudratnya ditagih.

Menurut beliau, sekalipun sudah menjengah usia 35 tahun, dia tidak melihat perkara itu sebagai ‘batu penghalang’ buat dirinya untuk terus mencipta kejayaan gemilang bersama TSG.

“Bagi saya itu (umur 35 tahun) hanya sebagai satu angka… tak lebih daripada itu. Saya masih ada tenaga untuk terus berkayuh seterusnya membawa nama TSG ke puncak kejayaan.

“Saya mahu mengikut jejak seperti idola saya, Mark Cavendish. Walaupun sudah berusia 39 tahun, tetapi dia masih mampu menggalas cabaran di peringkat kompetitif. Jadi itu yang saya akan cuba lakukan dalam masa beberapa tahun ini. Selagi khidmat dan kudrat saya diperlukan, selagi itulah saya akan terus berkayuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Harrif mencipta sejarah tersendiri di pentas LTdL – perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia apabila memegang status sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan.

Harrif yang meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL membuat penampilan ke-14 pada edisi 2023, sekali gus mengatasi rekod 13 penampilan dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani.

Turut berada dalam senarai sejarah penampilan terbanyak LTdL adalah dua bekas pelumba kebangsaan – Annuar Manan dan Loh Sea Keong apabila masing-masing membuat 12 penampilan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya rasa bertuah dan bangga kerana dapat mencipta sejarah sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan dalam perlumbaan LTdL. Jika tidak silap, saya mula beraksi (pada LTdL) ketika berusia 20 tahun. Jadi jika sekali lagi mendapat kepercayaan pasukan untuk beraksi tahun ini, ia akan menjadi satu lagi detik Istimewa buat saya.

“Äpa pun, buat masa sekarang saya menjalani latihan seperti biasa. Ada satu kejohanan yang akan disertai di China nanti, jadi saya akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.

Untuk rekod, Harrif atau lebih dikenali dengan panggilan Mamat meraih kemenangan pada Peringat 2 LTdL 2019 dan dua kemenangan lagi masing-masing pada Peringkat 2 dan 5 LTdL 2020.

Dengan tiga kemenangan yang dicapai pada perlumbaan LTdL, Harrif yang juga pakar pecut dianggap antara pelumba terbaik Malaysia dalam sejarah arena berbasikal lebuh raya.

“Perjuangan saya masih belum selesai. Kalau boleh saya mahu meraih lebih banyak kejayaan dalam karier saya khususnya pada perlumbaan LTdL yang diadakan di negara sendiri,” katanya.

Sebanyak 22 pasukan termasuk tiga pasukan berstatus World Team – EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan) dan DSM Firminich PostNL (Belanda) bakal menghangatkan LTdL 2024.

LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini dijadualkan berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober depan membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,227.2 kilometer (km).

Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal dilangsungkan di dua buah bandar di Sarawak iaitu Miri dan Bintulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast