GEORGE TOWN – Ubat perangsang seks antara 463 jenis ubat-ubatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM3.9 juta berjaya dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) di Pulau Pinang pada 30 Julai lalu.
Serbuan menerusi Ops Legacy 2.0 itu dilakukan di 17 premis termasuk kilang, gudang serta kediaman yang dijadikan tempat proses serta simpanan stok barang larangan itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, ubat perangsang seks yang mengandungi racun berjadual, produk tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi itu dijual secara dalam talian menerusi platform media sosial.
Jelas beliau, rampasan berjumlah RM3.9 juta itu merupakan produk yang dihasilkan pegilang dalam negara.
“Pemeriksaan lanjut mendapati produk yang dijual anggaran RM100 hingga RM200 itu tidak berdaftar dengan KKM sekali gus mendatangkan risiko kepada masyarakat dari segi tekanan darah rendah, kerosakan hati, buah pinggang serta gangguan mental.
“Ubat perangsang seks merupakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah seksual seperti mati pucuk, impotens atau juga dikenali sebagai Erectile Dysfunction (ED) dan untuk Malaysia ada beberapa jenis ubat perangsang seks telah didaftarkan dengan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, ubat untuk rawatan penyakit berkaitan fungsi seksual ini tidak boleh diiklankan di mana-mana media penyiaran kerana dilarang secara mutlak mengikut Seksyen 3 Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan hanya boleh dibekalkan pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi sah,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai serbuan, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Mohd Zawawi Abdullah berkata, seramai sembilan individu berusia 20 hingga 50 tahun ditahan sementara menerusi operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, hasil risikan dan siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak 2022 dan modus operandi mereka menggunakan platfom media sosial dan e-dagang untuk menjual produk terlarang ini.
“KKM memang berdepan cabaran dalam mengekang penjualan produk sebegini di media sosial namun kita giat menjalankan saringan terhadap iklan-iklan yang dibuat dengan tuntutan perubatan yang tidak sah.
“Sebanyak 15,000 saringan telah dibuat sepanjang tahun ini termasuk mengambil tindakan sekatan dan menurunkan iklan-iklan berkenaan dari platfom media sosial dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“KKM sentiasa mengambil serius dalam membanteras penjualan produk terlarang ini kerana mereka yang menghasilkannya tidak mempunyai sebarang kelayakan atau bukan pihak yang sah untuk mengeluarkan produk kesihatan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zawawi berkata, operasi sama turut dilakukan di Kedah dan Johor dengan rampasan 64 jenis produk yang bernilai RM517,000. – MalaysiaGazette