KUALA LUMPUR – Pemain beregu negara yang berjaya merangkul pingat gangsa pada Sukan Olimpik, Soh Wooi Yik berkongsi rasa mengenai kejayaannya itu dengan peminat menerusi laman sosial Facebook.
Antara lain, Wooi Yik mengakui rasa kecewa kerana gagal membawa pulang pingat emas seperti yang diharapkan oleh negara akan terus berada di dadanya.
Namun, kata anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu, beliau sedar Sukan Olimpik adalah seperti apa dilalui dalam kehidupan yang mana ia bukan tentang perkara yang berlaku kepadanya, sebaliknya bagaimana beliau bertindak balas terhadap apa yang berlaku.
Berikut adalah catatan penuh Wooi Yik menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini:
“Banyak hal terjadi di dalam hidup saya yang tidak pernah saya bayangkan sebelumnya. Mulai dari bahagia, marah, sedih, dan juga haru turut menjadi perasaan yang muncul pada tiga bulan ini tetapi amat bangga kami telah mengharumkan nama Malaysia.
“Mulai dari mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi, terasa sangat berat, tidak dapat emas yang negara perlukan pasti akan ada rasa kecewa yang seringkali hinggap di dalam dada.
“Tetapi saya sedar bahawa Olympic serupa macam apa yang kita hadapi di dalam kehidupan kita, ia bukan perkara yang berlaku kepada anda, ia tentang bagaimana anda akan bertindak balas dengannya.
“Saya amat gembira kita tidak putus asa sehingga ke akhir saat! Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan Team Mas yang menyokong kita di belakang, depan TV dan stadium.
“Thank you big brother Aaron Chia Teng Fong, let’s keep going,” tulisnya.
Kelmarin, Wooi Yik bersama pasangannya, Aaron Chia mengulangi pencapaian mereka pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selepas merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki badminton.
Mereka menghadiahkan pingat pertama kepada kontigen negara itu dalam perlawanan sengit menentang pasangan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menerusi pertandingan tiga set dengan mata 16-21, 22-20, 21-19. – MalaysiaGazette