PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang bekas pekerja kilang papan dengan penjara 40 tahun kerana membunuh dan merogol seorang jururawat sembilan tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohammad Awari Ahmad di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Hakim Mahkamah Persekutuan itu turut mengarahkan Mohammad Awari, 31, dikenakan sebatan 12 kali dan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Mac 2015.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Harmindar berkata meskipun keadaan jenayah yang dilakukan oleh Mohammad Awari agak luar biasa namun terdapat satu faktor pengurangan yang melepaskan dia daripada tali gantung iaitu umurnya yang masih muda ketika kejadian.
Beliau juga memerintahkan Mohammad Awari menjalani hukuman penjara bagi sabitan membunuh serentak dengan hukuman bagi kesalahan merogol.
Turut bersidang Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah.
Terdahulu, peguam Gurbachan Singh berkata beliau mengakui keseriusan jenayah itu sehingga menyebabkan kehilangan satu nyawa namun meminta agar hukuman mati diganti dengan pemenjaraan kerana anak guamnya hanya berumur 22 tahun ketika kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini pula membantah permohonan itu dan berkata ini adalah kes pembunuhan kejam membabitkan seorang ibu muda beranak tiga yang turut dirogol.
Beliau berkata Mohammad Awari memasuki rumah mangsa pada tengah malam ketika wanita itu sedang tidur bersama tiga anaknya manakala suami arwah tiada di rumah.
Atiqah berkata Mohammad Awari telah mengelar leher mangsa yang disaksikan oleh anak lelakinya yang berusia lima tahun.
Beliau berkata mangsa turut dirogol dengan kejam serta dirompak.
Mohammad Awari didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 31 Jan 2018 kerana membunuh isteri seorang anggota polis bantuan itu yang berusia 25 tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 12.20 malam dan 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan pada 1 Mac 2015.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 11 April 2019 dan Mahkamah Persekutuan pada 7 Okt 2020.
Mohammad Awari, yang juga disabitkan oleh Mahkamah Tinggi bagi kesalahan merogol mangsa, telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan. – BERNAMA
Terbaiklah kerajaan Madani…selama 40 tahun makan minum penjenayah binatang ni akan ditanggung dari duit pembayar cukai..kesian mangsa dibunuh kejam..anak2 mangsa..dan keluarga mangsa..tak pe..yg penting kita kena kesiankan pembunuh bukan keadilan kpd mangsa bunuh..ini lah hukuman dunia