Rajkumar didakwa atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan sebatang besi minggu lalu.

Tertuduh, P. Rajkumar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bapanya berusia 65 tahun dengan menggunakan sebatang besi yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Desa Murni di sini, jam 8 malam pada 1 Ogos lalu.

Tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal memohon satu tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan tiada jaminan ditawarkan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu juga tidak merayu sebarang jaminan ketika Noor Aini memintanya menyatakan rayuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 September depan untuk mendapatkan laporan perbuatan mangsa, sebutan semula kes serta lantikan peguam.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa mengalami kecederaan dibahagian kepala, tangan serta kaki akibat diserang suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast