Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat oleh Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 6 Ogos 2024. - Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia mencadangkan kepada Thailand agar melibatkan sektor swasta dan syarikat pemula dalam penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam zon tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu diutarakan kepada Menteri Luar Negeri Thailand Maris Sangiampongsa, semasa kunjungan hormat yang diadakan semalam.

“Penglibatan mereka (swasta dan syarikat pemula) boleh menarik lebih banyak pelaburan ke dalam SEZ. Malah saya juga mencadangkan agar Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang Sungai Golok,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pertemuan itu, mereka turut membincangkan hasil lawatan kerja beliau bersama Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisn ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelatan pada Sabtu lepas.

Semasa lawatan kerja itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan tentang sektor getah dan industri makanan.

Menerusi hantaran sama, Anwar memakluman bahawa beliau dan Maris juga berbincang mengenai pengorekan muara Sungai Golok untuk menangani isu banjir bagi membantu komuniti di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang sering menghadapi masalah banjir hampir setiap tahun.

Selain itu, Anwar turut menyatakan komitmen Malaysia terhadap Proses Dialog Keamanan Selatan Thailand.

“Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan ke-7, pada 19 Sept 2024,” katanya.

Anwar sebelum ini, telah menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu menyegerakan Proses Dialog Damai tersebut.

Malaysia merupakan fasilitator bagi rundingan damai untuk menamatkan konflik yang berlangsung selama berpuluh tahun, memuncak pada Januari 2004 di wilayah selatan, termasuk Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohd Rabin Basirdilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast