PETALING JAYA – Perbadanan PR1MA Malaysia telah membuat pembayaran awal sebahagian Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) kepada 563 pemilik rumah di Residensi Bandar Ekar, Rantau Negeri Sembilan.
PR1MA dalam satu kenyataan berkata, bayaran itu bagi mengurangkan beban kewangan kepada pembeli akibat daripada kelewatan projek.
“PR1MA telah memberikan maklumat terkini kepada pembeli melalui emel berhubung kemajuan projek secara bulanan dengan tarikh terkini pada 25 Julai 2024,” katanya PR1MA dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, status kemajuan pembangunan terkini Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Residensi Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan sebanyak 96.97 peratus setakat 30 Julai 2024.
“Kelewatan projek itu berpunca daripada masalah yang dihadapi oleh kontraktor asal iaitu Bina Terbit Sdn. Bhd. Lanjutan itu, PR1MA telah melantik kontraktor penyelamat iaitu Zikay Synergy Sdn. Bhd. (ZSSB) pada 9 September 2021 bagi menyiapkan projek ini,” katanya.
Menurut PR1MA, setakat ini, kerja-kerja di tapak tertumpu kepada pembaikan unit kediaman, arkitektural, mekanikal dan elektrikal, penurapan jalan di dalam kawasan pembangunan serta kerja-kerja infrastruktur di luar kawasan pembangunan.
“Kini jumlah pekerja di tapak pembinaan seramai 151 orang dan kerja lebih masa juga sedang giat dijalankan di tapak oleh pihak kontraktor bagi mempercepatkan penyiapan baki-baki kerja,” katanya.
Selain itu, kerja-kerja fizikal pula dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebelum Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dapat dikeluarkan.
“Kontraktor dan pihak perunding sedang giat menjalankan Pengujian dan Pentauliahan dalaman secara serentak bagi mempercepatkan proses pematuhan CCC kelak,” katanya.
Katanya kenyataan itu lagi, tarikh jangkaan siap dan penyerahan kunci kepada pembeli bagi projek ini dijangka pada 2024.
“Tertakluk kepada kerjasama dan kelulusan PBT dan agensi-agensi teknikal yang terlibat semasa proses pemeriksaan CCC dijalankan,” katanya PR1MA lagi. – MalaysiaGazette
















