KUALA LUMPUR – Golongan belia di Selangor disaran supaya melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan anjuran Penggerak Belia Selangor (PeBS).
Ini kerana dengan penglibatan mereka, ia dapat membantu memupuk kemahiran kepimpinan, membina jaringan sosial yang kuat serta mengembangkan rasa tanggungjawab terhadap Masyarakat, kata Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.
“Melalui penglibatan ini, mereka dapat dipersiapkan sebagai pelapis pemimpin yang berwibawa pada masa depan.
“MSN memperuntukkan lebih kurang RM5,000 untuk diagihkan kepada setiap zon PeBS bagi mereka menggerakkan pelbagai program seperti Pertandingan Badminton Akhir malam ini yang dianjurkan oleh PeBS Zon Pulau Meranti di bawah pimpinan Mohd ezamen Alif Mohd Rizuwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang telah dijenamakan daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) pada 2020 adalah program pimpinan anak muda yang merupakan wakil kerajaan negeri bagi menyampai dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri kepada belia setiap kawasan bagi keseluruhan negeri Selangor.
Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor merancang program-program berdasarkan Dasar Belia Selangor 2020.
Dalam pada itu, Mohamad Nizam turut memberi penghargaan kepada Mohd Ezamen Alif yang baharu dilantik sebagai pemimpin baharu PeBS Zon Pulau Meranti pada Mei lalu.
Sementara itu, Mohd Ezamen Alif memaklumkan, pihaknya akan terus melaksanakan aktiiviti-aktiviti yang disukai golongan muda selaln sukan.
“Kami mahu menarik seramai mungkin anak-anak muda untuk bersama komuniti sekeliling agar dengan penglibatan mereka dapatlah kami mengenal pasti dan mengasah bakat-bakat baharu sebagai pemimpin,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kadang-kala usaha untuk mengajak anak-anak muda bersama aktif dalam PeBS berdepan kesukaran kerana golongan itu lebih suka melapangkan waktu dengan bermain gajet.
Mohd Ezamen Alif yakin dengan adanya aktiviti-aktiviti yang diminati generasi kini, tidak mungkin sasaran untuk menjayakan program ke arah kejayaan Dasar Belia Selangor 3030 tidak dapat dicapai. – MalaysiaGazette