KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memulakan siasatan terhadapnya.
Daim telah memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini bagi mendapatkan dokumen berhubung pertuduhan tidak mematuhi notis SPRM pengisytiharan harta.
Dalam afidavitnya, kata Daim, laporan itu perlu didapatkanya bagi memastikan perbicaraan jenayah yang adil terhadap kes mahkamah pendedahan aset terhadapnya.
Dalam afidavitnya yang disahkan pada Rabu minggu lalu, Daim mendakwa pihak pendakwaan enggan mendedahkan laporan itu apabila peguamnya menulis surat kepada mereka pada 31 Januari lepas.
Untuk makluman, ia percubaan kedua Daim selepas permohonan pertama yang difailnya pada 31 Januari lepas tidak menerima maklum balas.
“Responden juga tidak mendedahkan aduan tersebut sebagaimana pendedahan yang diwajibkan di bawah seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Aduan tersebut mesti didedahkan kepada saya dibawah mandat seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 dan/atau seskyen 51 dan/atau seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Aduan tersebut adalah relevan untuk memastikan suatu perbicaraan adil bagi pertuduhan tersebut selaras dengan hak saya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan selain ia adalah relevan bagi mahkamah untuk mencapai suatu keputusan yang adil dan saksama bagi pertuduhan terhadap saya,” kata afidavit itu.
Dalam pada itu, ketika prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan permohonan tersebut.
Azura menetapkan 27 Ogos depan bagi mendengar permohonan Daim.
Daim yang kini berusia 86 tahun sedang berdepan dakwaan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu. -MalaysiaGazette
















