Mohd Na'im melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan sebagai gimik bagi menaikkan semangat patriotik dalam kalangan warga agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sempena Majlis Perhimpunan dan Sambutan Bulan Kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi hari ini.

BANGI – Golongan agamawan dan juga para pakar bagi setiap agama yang dianuti masyarakat di negara ini dipanggil untuk terlibat sama dalam memberikan pandangan untuk membentuk Piagam Harmoni Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, untuk membentuk piagam tersebut penglibatan pakar bagi setiap agama perlu kerana matlamatnya membina keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Sudah tentu, sebab dalam kita membentuk Piagam Harmoni Malaysia ini, semua pakar dipanggil…  pakar yang dalam agamawan kita (Islam) dan juga pakar agama dalam agama-agama lain.

“Jadi, ia bukan sahaja melibatkan golongan agamawan Islam tapi yang bukan Islam pun dijemput memberikan pandangan sebab tujuan daripada Piagam Harmoni adalah untuk membina keharmonian dalam kalangan masyarakat yang beragama Islam, bukan bergama Islam, orang Melayu dan juga bangsa-bangsa lain.

“Jadi, sudah tentu input itu diambil daripada semua agama dan juga bangsa. Oleh kerana, IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) adalah merupakan agensi yang terkehadapan yang menjadi urusetia utama pada Piagam Harmoni ini sudah tentu usul-usul nilai-nilai Islam yang berbentuk sejagat itu diletakkan juga di dalam Piagam Harmoni itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyempurakan Majlis Perhimpunan dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Senator Dr Zulkifli Hasan.

Semalam, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dipetik berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) meluluskan cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Katanya, piagam tersebut mengandungi satu garis panduan meliputi perkara yang perlu dielak dalam memperkasa hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Piagam Harmoni itu merangkumi enam prinsip, 12 nilai-nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Piagam Harmoni Malaysia telah dicerakinkan dengan matlamat dan objektif bagi memastikan negara yang memiliki rakyat pelbagai berbangsa, berbilang agama saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Ujarnya, dengan cara itu ia akan dapat membina kehidupan yang harmoni dan Sejahtera sebagai turut disebut di dalam al-Quran.

“Dalam Piagam Harmoni ini antaranya dijelaskan tentang apa yang kita boleh buat dan apa yang kita tak boleh buat…yang kita buat ini akan menyokong semangat keharmonian di dalam negara kita mankala perkara-perkara yang perlu ditinggalkan.

“Sebab kalau kita tak tinggalkan perbuatan tersebut masyarakat kita akan huru-hara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, jawatankuasa piagam berkenaan yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang akan membawa piagam itu ke Mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan keputusan dasar.

Tambahnya, langkah seterusnya yang akan dilakukan adalah ia akan dibawa pula ke Mesyuarat Majlis Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast