Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 OGOS 2024

KUALA LUMPUR- Kerajaan sedang mencari jalan yang lebih efektif menerusi peraturan baharu media sosial untuk menghalang kanak-kanak daripada mendaftar di mana-mana platform media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan jenayah pedofilia dalam talian dapat dibendung.

“Ketika ini, platform-platform media sosial dilihat tidak begitu serius menghalang kanak-kanak daripada membuka dan menggunakan akaun.

“Justeru, menerusi pelesenan media sosial ini, kami berharap kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah dapat dihalang daripada memiliki akaun media sosial.

“Kami juga tidak mahu penjenayah terutamanya penjenayah seksual kanak-kanak menyalahgunakan platform media sosial.

“Kami mahu aktiviti pedofilia yang menggunakan akaun palsu dapat dihentikan,” katanya selepas melancarkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan berhubung anak-anak mereka.

Katanya, ibu bapa perlu memastikan ibu bapa tidak mendedahkan maklumat peribadi anak-anak di media sosial.

“Contoh, jangan sebar anak ke sekolah mana, jadualnya bagaimana. Kita tidak mahu penjenayah mendapat akses kepada maklumat seperti itu dan salah gunakan. Data peribadi tolong jaga,”katanya lagi.- MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast