ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pembangkang mempersoalkan pengumuman perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang akan diaktifkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) sedang berlangsung.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan pihaknya memahami keperluan rakyat di DUN itu, namun, apakah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Kewangan adalah satu kebetulan ketika ini.

Beliau juga mempertikaikan prinsip yang dilaungkan kerajaan sebelum ini dalam memperjuangkan keadilan dalam kempen PRK.

“Kita bukanlah pertikaikan kepentingan ATM di Nenggiri, apa yang dipertikaikan ialah kenapa ia diumumkan dalam tempoh kempen PRK? Dengan kenyataan rasmi MOF pulak tu, adakah anda nak kata ia satu kebetulan?

“Jika nak bawa mesin ATM, silakanlah. Tiada halangan. Nak bina kilang TESLA pun boleh, bahkan nak bawa Elon Musk buat tinjauan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri yang kita kasihi lagi boleh. Tapi buat pengumuman dalam tempoh PRK ini, tidakkah ia melanggar prinsip anda sendiri? Atau memang anda sudah jadi manusia tiada prinsip?” tulis di Facebook miliknya.

Beliau turut memuat naik gambar gambar hiasan iaitu keratan akhbar bertajuk “BSN kaji buka cawangan di Pelangai”, yang mana Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa, kajian masih belum selesai dan yang ada hanyalah van BSN datang seminggu sekali untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat.

Awal Julai lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri tidak teragak-agak mengenakan tindakan disiplin terhadap menteri yang mengguna dan menyalahgunakan jentera kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap lalu.

Perdana Menteri menegaskan, sekiranya wujud tindakan itu ia melanggar keputusan Jemaah Menteri yang menghalang mana-mana menteri mahupun agensi kerajaan menggunakan jentera dalam kempen pilihan raya.

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan pihak kementerian mengambil maklum laporan yang diterima mengenai kesukaran penduduk di DUN Nenggiri untuk mengakses mesin ATM, yang memaksa mereka melakukan perjalanan sejauh 50 kilometer untuk ke Gua Musang.

“Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan mesin ATM di DUN Nenggiri dan ia mendapat respons positif,” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, MOF turut memberitahu pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan, khususnya dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ATM dapat diperluaskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast