KUALA LUMPUR – Seorang pemandu nyaris rentung setelah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu tiba-tiba terbakar berhampiran pusat beli-belah Midvalley menghala ke Eco City, Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pukul 7.48 pagi.
Sejurus menerima panggilan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba Pantai digegaskan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, pasukan penyelamat mendapati kenderaan SUV jenis Perodua Aruz itu terbakar 80 peratus.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.19 pagi,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah kenyataan itu, tiada mangsa yang cedera dalam insiden tersebut dan pemilik kenderaan juga berjaya keluar sendiri sebelum merebak.
Ketika ini bomba masih lagi menyiasat kejadian berkenaan bagi mengenal pasti punca ianya berlaku. – MalaysiaGazett