Bangunan Bank Muamalat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi bantuan moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan.

Selain itu, Bank Muamalat turut menawarkan penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran serta pengecualian caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada pelanggannya yang terjejas ekoran situasi banjir buruk yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.

“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel [email protected].

Langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan,” tambah Khairul.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast