Istiqomah Ahmad Rozi

MELAKA – Jenazah mangsa pembunuhan kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dijangka dapat dituntut keluarganya untuk dikebumikan selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ini kerana polis perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bahagian kepala dan tulang jari guru wanita terbabit.

“Kita masih menunggu keputusan DNA bukti baru iaitu bahagian kepala dan tulang jari mangsa yang ditemukan kira-kira enam kilometer dari bahagian anggota lain yang dibuang pada penemuan pertama 31 Disember lalu.

“Kita tunggu arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) barulah jenazah boleh dituntut keluarga daripada pihak hospital, kita tunggu mungkin minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan dan tidak boleh mendedahkan maklumat lain kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Superintendan Ashari Abu Samah

“Untuk tuntutan kita juga berharap dapat selesai minggu depan tapi kalau dapat dituntut lebih awal saya akan maklumkan kemudian,” tambahnya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan lelaki berusia 37 tahun iaitu rakan kepada mangsa yang dibunuh kejam dengan kepala dipenggal, kedua-dua tangan dan kaki dipotong, di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini Disember lalu, direman tujuh hari sehingga Isnin depan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee untuk membantu siasatan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan  kerana membunuh.

Terdahulu media melaporkan polis mengesahkan mayat wanita berusia 33 tahun itu dibunuh kejam sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang di longkang di Pulau Sebang yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember lalu adalah Istiqomah.

Pengesahan itu dibuat selepas hasil ujian DNA dijalankan 2 Ogos lalu ke atas ibu seorang wanita berkenaan sepadan dengan mangsa.

Hasil risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai rakan mangsa dan isterinya berusia 36 tahun di Chemor, Perak.

Siasatan terhadap kedua-duanya kemudian membawa penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa yang mempunyai tiga anak iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast