Mohd Na;im menandatangani plak perasmian Surau Marjan di Sekolah Menengah Kebangsaan, Batu Muda di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM4,571,818.53 berjaya diterima Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang merupakan dana wakaf bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, jumlah kutipan itu adalah menerusi 14,376 pewakaf iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas iaitu RM4,069,320.83.

Meskipun berlaku peningkatan dalam dana wakaf, beliau menggesa rakyat terutamanya penduduk di Wilayah Persekutuan untuk memberi sumbangan wakaf memandangkan jumlah kutipan wakaf itu dilihat masih kecil.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pernah sebut bahawa wakaf merupakan instrumen penting dalam pembangunan ekonomi, maka saya mengajak para penyumbang wakaf yang ingin dapatkan pahala berterusan supaya memberikan sumbangan wakaf menerusi PPZ-MAIWP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan Surau Al-Marjan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, surau berkenaan telah selesai dibina pada Disember 2023 melalui hasil kutipan wakaf tunai khas yang memberi manfaat kepada 1,446 pelajar dan guru di sekolah berkenaan untuk beribadah dan menjalankan aktiviti kerohanian.

“Alhamdulillah, kutipan wakaf tunai dilaksanakan bermula 1 Mac 2022 hingga 28 Feb 2023 telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM623,807.90 dengan kerjasama dan sumbangan daripada pelbagai pihak antaranya MAIWP, PPZ-MAIWP, pewakaf serta guru-guru dan kakitangan serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Batu Muda,” ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohd Na’im berkata, PPZ-MAIWP baru sahaja melancarkan Kempen Satu Bulan Satu Wakaf Kempen yang berlangsung selama lima bulan bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Disember ini.

Kempen itu bertujuan bagi mengumpul dana wakaf tunai untuk menampung kos yang diperlukan bagi pembangunan, menaik taraf dan pembelian peralatan bagi enam projek terpilih yang memerlukan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM21,952,350.00.

“Saya harap segala perancangan yang baik ini sentiasa mendapat sokongan dan dokongan masyarakat di Wilayah Persekutuan khasnya dan Malaysia amnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast