KUALA LUMPUR – Seramai 53 waris telah menerima bantuan pelan pelindungan mampu milik Lembaga Tabung Haji (TH) Khairat menerusi pembayaran tuntutan sebanyak RM636,000, sejak setahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, diharap bayaran tuntutan TH Khairat yang diterima oleh penerima sedikit sebanyak dapat membantu mereka menghadapi masa-masa sukar.
Katanya, lebih 302,000 pendaftar telah direkodkan sehingga hari ini oleh pengendali Takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).
“Serahan tuntutan TH Khairat daripada pengendali Takaful kepada TH dalam majlis ini juga sebagai simbolik yang mencerminkan komitmen TH bersama Takaful Malaysia dan HLM Takaful bagi memastikan setiap tuntutan yang layak diproses dengan cepat supaya dapat disalurkan kepada waris atau penerima manfaat dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam Majlis Simbolik Serahan Tuntutan TH Khairat di Menara TH Tun Razak semalam.
TH Khairat dilancarkan bermula 31 Julai 2023 yang menawarkan pelindungan kematian atau hilang upaya kekal sebanyak RM12,000 dengan bayaran serendah RM28 setahun kepada pendepositnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, menerusi kerjasama itu jelas menandakan komitmen mereka untuk menyediakan perlindungan takaful mampu milik khusus bagi memenuhi keperluan para pendeposit.
“Kami komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan TH Khairat dengan memastikan urusan tuntutan perlindungan takaful ini berjalan lancar bagi membantu penerima manfaat atau waris menguruskan keperluan kewangan dan kelangsungan hidup melalui pampasan yang diperoleh,” jelasnya.
Pandangan sama turut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful, Mohd Asri Omar yang bersyukur dengan sambutan memberangsangkan dari pendeposit TH yang menyertai program itu untuk tahun pertama.
“Kami amat bersyukur di atas sambutan yang memberangsangkan dari lebih 100,000 pendeposit TH yang dikendalikan kami dalam tahun pertama produk ini dilancarkan.
“Penyelesaian pantas tuntutan yang telah membantu beberapa keluarga peserta TH Khairat setakat ini, serta komitmen tinggi TH untuk meningkatkan publisiti semestinya akan memacu pencapaian yang lebih tinggi dalam tahun ini dan seterusnya.
“Kami di HLM Takaful sangat teruja untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya yang belum mempunyai perlindungan Takaful untuk memilih TH Khairat sebagai pelan perlindungan asas mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, TH mengalu-alukan pendepositnya untuk melanggan TH Khairat demi manfaat orang yang tersayang dengan bayaran yang rendah dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat.
TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang. – MalaysiaGazette