KUALA LUMPUR – Malaysia amat berang dengan pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Zionis Israel pada 13 Ogos 2024.
Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji ini, yang dilakukan di bawah perlindungan pasukan keselamatan Israel, merupakan pelanggaran serius terhadap salah satu tapak paling suci Islam.
“Malaysia amat berang dengan provokasi ini, yang menafikan hak rakyat Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa tetapi juga tidak menghormati umat Islam di seluruh dunia.
Ini menandakan pencabulan keenam terhadap pekarangan Masjid Al-Aqsa oleh pihak berkuasa Israel sejak akhir tahun 2022,” kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini.
Jelasnya, pelanggaran yang berulang kali ini jelas menunjukkan sikap tidak peduli yang berterusan terhadap tapak keagamaan yang suci ini, dan dilihat sebagai sebahagian daripada percubaan terancang Israel untuk menjejaskan status undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.
Tindakan ini juga akan menambahkan ketegangan di rantau Timur Tengah.
“Provokasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan yang sudah sedia tidak menentu, tetapi juga menunjukkan sikap zionis Israel yang tidak ambil peduli seruan antarabangsa bagi keamanan.
“Israel jelas tidak menghiraukan proses damai, yang disokong oleh majoriti negara bertamadun,” katanya sambil menambah Malaysia dengan tegas menentang sebarang percubaan rejim Zionis Israel untuk mengubah status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan tempat-tempat sucinya.
Lantaran itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab di atas percubaan berterusan dan sistematik untuk mengubah status MasjidAl-Aqsa.
Tindakan segera dan tegas adalah penting untuk mengelakkan keadaan di Tebing Barat
dan Gaza menjadi semakin meruncing.
Kegagalan untuk bertindak balas hanya akan memburukkan lagi krisis sedia ada. Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel untuk menghentikan perang genosid di Gaza.
“Malaysia kekal bersolidariti dengan rakyat Palestin dan akan meneruskan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk keamanan. Malaysia berpegang teguh kepada status Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif sebagai tapak suci bagi umat Islam dan menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” ujar Wisma Putra. – MalaysiaGazette