KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menafikan menerbitkan poster berkenaan Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Aminuddin Harun yang didakwa akan dilantik sebagai Menteri Ekonomi.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata, poster ucapan tahniah yang tular di media sosial itu adalah palsu.
“Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita sebegini.
“Kenyataan yang tepat dan sahih daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan hanyalah melalui laman media sosial “UMNO Perhubungan Negeri Sembilan” dan/atau TikTok “umno_ns”.
“Tidak pasti, jangan kongsi.,” katanya menerusi laman sosial Facebook badan tersebut semalam.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, satu lagi rombakan Jemaah Menteri dikatakan bakal berlaku menjelang akhir bulan ini.
Menurut laporan itu yang memetik sumber, seorang Menteri Besar dipercayai akan mengambil jawatan menteri iaitu langkah yang dibincangkan sebelum rombakan Jemaah Menteri pada Disember lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat dan mengingatkan semua pihak tidak mempercayai laporan yang memetik sumber. – MalaysiaGazette