KUANTAN – Seorang pesara kerajaan di sini berputih mata apabila rugi sebanyak RM276,000 dalam tempoh dua minggu akibat menjadi salah seorang mangsa penipuan melalui panggilan telefon.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, jumlah kerugian mangsa termasuk melibatkan simpanan Tabung Haji (TH) dan Amanah Nasional Berhad (ASB) suaminya.
”Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan berkenaan mangsa mengalami kerugian setelah terpedaya dengan suspek yang menyamar sebagai Pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis.
“Pada 16 Julai lalu, mangsa seorang wanita berumur 64 tahun telah menerima panggilan telefon daripada ‘pegawai MCMC’ dan menyatakan mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Noor Hisam, panggilan telefon itu kemudiannya telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
Dalam tempoh 16 hingga 29 Julai lalu, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi melalui mesin pindahan wang automatik ke enam akaun bank berlainan.
Justeru polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette